Pages

Ads 468x60px

Terima kasih di atas sokongan (*^_^*)

Klik-klik Nuffnang Ads

Showing posts with label Nukilan. Show all posts
Showing posts with label Nukilan. Show all posts

Thursday, February 24, 2005

TAKUT

TAKUT adalah satu perasaan yang pasti wujud pada setiap insan yang normal. Yang membezakannya adalah tahapnya, apa yang ditakuti dan bagaimana seseorang insan itu menanganinya.

Adakalanya timbul perasaan takut yang tidak dapat dikawal. Kegagalan untuk mengawal rasa takut adalah satu kelemahan lazim pada hampir setiap diri kita. Aku juga tidak terlepas dari menghadapi ketakutan “luar kawal” itu. Tidak dapat dinafikan kelemahan itu boleh membawa kepada padah yang besar.

Di kalangan rakan, aku memang terkenal dengan sifat lasak. Aku gemar mengikuti perkemahan dan ekspedisi. Kata-kata “Gunung lagi ku daki, lurah lagikan ku turuni” itu memang bertepatan sekali untuk menggambarkan diriku, kecuali rangkap yang seterusnya iaitu “lautan lagikan ku renangi”.

Sebenarnya, walaupun lasak jauh di sanubari aku tidak lebih dari seorang anak yang belum matang dan tidak berkeyakinan diri. Ia terbukti ketika aku menyertai ekspedisi ke Pulau Tioman anjuran Kelab Fotokreatif di kolej tempat aku belajar. Ekspedisi itu disertai oleh semua pelajar perempuan dengan pengawasan empat pelajar senior lelaki. Pada hari ketiga ekspedisi, kami berkemah di Kuala Salang. Ketua ekspedisi abang Legolas bercadang untuk mengadakan klinik renang.

Memandangkan tidak seorang pun dari kami yang tahu berenang, kami bukan setakat menyokong cadangan itu seratus peratus, malah untuk menunjukkan betapa semangatnya kami hendak belajar berenang belum apa-apa lagi kami sudah turun ke laut. Mula-mula, sekali kami diajar asas untuk berenang dan mengapung badan atau bubbling. Selepas diberi penerangan masing-masing mencuba teknik itu.

Lain pula halnya dengan aku, keseronokan dan keghairahan untuk belajar berenang nampaknya hilang begitu saja, tiba-tiba aku menjadi terlalu takut. Takut sehinggakan aku hanya mampu berdiri tegak, panik dan kaku, walhal aku baru hendak mencuba teknik mengapungkan diri belum lagi yang lain.

Apa yang terlintas difikiran ketika itu hanyalah mati lemas! Tergambar pula filem yang menunjukkan adegan ngeri orang maut di laut. Apakah aku akan menemui ajalku di situ? Bagaimana dengan ibu bapaku? Adik-adik? Mati?

Bukan setakat itu saja, ketakutanku menyebabkan aku terbayang yang bukan-bukan. Rakan aku yang asyik berlatih, kelihatannya seperti sedang berpakat-pakat untuk melemaskanku, mereka semua hendak bunuh aku!

Melihatkan aku sekadar berdiri tegak saja, abang Legolas menjerit-jerit menyuruh aku mencuba dan mula mendekati aku. Aku yang sudah panik sangat ketika itu berundur setapak demi setapak. Akhirnya aku hilang pertimbangan dan menangis.

Abang Legolas terperanjat besar melihatkan aku menangis dengan tidak semena-mena. Tanpa berkata apa-apa dia terus meninggalkan aku menangis keseorangan dan meneruskan tunjuk ajar beliau kepada rakan lain yang nampaknya begitu bersemangat sekali.

Sebenarnya aku sendiripun tidak faham apalah yang aku takutkan sangat. Air laut baru separas dada. Disekelilingku banyak orang pula, takkanlah mereka hendak biarkan aku lemas. Itupun kalau aku lemas!

Melihatkan keadaan itu, rakan-rakan cuba memujuk dan menenangkan aku. Mereka mengingatkan tentang keberanian aku pada kebiasaannya (sudah tentu akulah orang paling berani sebelum ini). Lagipun mereka semua selamat, Tidak jadi apa-apapun. Jauh sekali hendak lemas!

Macam-macam yang mereka katakan untuk memujukku tapi semuanya berakhir dengan aku duduk di tepi pantai merenung kosong seperti terkena sihir lagaknya. Hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaanku ketika itu. Walaupun rasanya lega kerana tidak lemas tapi betapa ia memalukan diri sendiri. Rasa-rasanya ingin aku menjelma menjadi ketam, boleh mengorek lubang di pasir dan menyorok di situ.

Rakan yang tadinya bersimpati mula mentertawakan aku. Barulah mereka tahu budak samseng itu rupa-rupanya hanya gah di darat tapi kecundang di laut. Hilanglah kewibawaanku selama ini. Aku seorang bekas kadet dan sangat berpengalaman dalam merentas hutan dan mendaki gunung, tetapi menangis di laut.

Begitulah natijah jika takut tidak bertempat. Bila dikenang-kenangkan lucu juga. Menjadi kenangan dan teladan untukku seumur hidup. Selepas peristiwa itu aku jadi lebih beringat-ingat dan berpada-pada dalam melayan perasaan.

Biarlah aku ligat di darat sahaja. Melihatkan lautan yang begitu saujana mata memandang, aku rasa terlalu kerdil untuk menghampirinya apatah lagi untuk berjinak-jinak dengannya.

Walau apapun, suatu hari nanti aku pasti akan hapuskan sindrom takut air (hydrophobia) itu kerana kata pujangga “berani mati tak mati, takut mati…mati”.

Wednesday, February 23, 2005

Mamat Hensem

Muka ku blushing sedikit setelah ku serahkan nombor telefon bimbit ku kepada si dia. Umm, dia sememangnya hensem, tinggi, putih, tentulah idaman gadis-gadis. Dan aku yang bertuah kerana dia telah menyapaku dan meminta nombor telefonku. Walaupun tangan ku terketar-ketar semasa menulis angka-angka itu sehinggakan aku hampir lupa nombor yang sepatutnya ku tulis, ku gagahi jua mencoret satu demi satu angka ke atas kertas kusam yang dihulurkan si hensem.

Menoleh ke belakang, ku lihat bas bernombor 13 telah sampai. Aku melangkah dengan penuh tertib walaupun terasa seperti sedikit havoc di sekelilingku. Apa tidaknya, bas no. 13 lewat satu jam. Sambil ku daki tangga bas yang tidak banyak itu, cuma 3 rise saja, aku cuba mengerling mencari kelibat si hensem, namun tidak kelihatan pula. Tak mengapalah.... harap2 dia akan menelefon ku secepat mungkin. Tanpa sedar aku tersenyum sendirian. Kesempitan dan kepanasan di dalam bas no. 13 tidak terasa lagi.


Walaupun bas sudah sarat, bas no. 13 masih belum berganjak. Ku panjangkan leher ku tapi tidaklah sepanjang leher 'elastigirl', cuba sekali lagi mencari si hensem yang mungkin masih di perhentian bas ini. Kepingin sekali melihat wajah nya yang hensem itu. Aku amat berharap agar dapat menatapnya sekali lagi. Esok aku akan pulang ke ibu kota dan aku hanya dapat mendengar suaranya sahaja selepas ini, itupun jika dia menelefonku. Sudah tentu dia akan mendail nombor-nombor yang ku berikan tadi. Mengapa tidak? Aku dara pingitan dan dia, dia si hensem yang tidak ku ketahui nama dan asal usulnya.

Itupun dia... kelihatan dia sedang berbicara dengan seorang gadis. Siapa gadis itu? Ternyata si gadis seperti sombong sekali, seolah benci akan si hensem. Hatiku berdegup kencang..dup dup dup.. si hensem ini casanovakah dia?

Tiba-tiba...

Si hensem berlari sambil terpekik-pekik keriangan. Aku kaget. Si hensem terkinja-kinja pula. Selepas seketika si hensem duduk di tepi jalan sambil mulutnya terkumat-kamit seperti membaca doa.

Ketika itu jualah aku rasa seolah-olah nafas ku tersekat. Penumpang bas no. 13 ini seperti sedang menghimpit aku. Lutut ku terasa longgar seperti baru lepas jogging. Dunia terasa 'pusing', aku rasa macam nak pitam. Sebaliknya, muka ku blushing sekali lagi. Kali ini bukan kerana suka tetapi kerana malu.

Si hensem, sebenarnya pemuda kurang siuman.....