TAKUT adalah satu perasaan yang pasti wujud pada setiap insan yang
normal. Yang membezakannya adalah tahapnya, apa yang ditakuti dan
bagaimana seseorang insan itu menanganinya.
Adakalanya timbul
perasaan takut yang tidak dapat dikawal. Kegagalan untuk mengawal rasa
takut adalah satu kelemahan lazim pada hampir setiap diri kita. Aku juga
tidak terlepas dari menghadapi ketakutan “luar kawal” itu. Tidak dapat
dinafikan kelemahan itu boleh membawa kepada padah yang besar.
Di
kalangan rakan, aku memang terkenal dengan sifat lasak. Aku gemar
mengikuti perkemahan dan ekspedisi. Kata-kata “Gunung lagi ku daki,
lurah lagikan ku turuni” itu memang bertepatan sekali untuk
menggambarkan diriku, kecuali rangkap yang seterusnya iaitu “lautan
lagikan ku renangi”.
Sebenarnya, walaupun lasak jauh di sanubari
aku tidak lebih dari seorang anak yang belum matang dan tidak
berkeyakinan diri. Ia terbukti ketika aku menyertai ekspedisi ke Pulau
Tioman anjuran Kelab Fotokreatif di kolej tempat aku belajar. Ekspedisi
itu disertai oleh semua pelajar perempuan dengan pengawasan empat
pelajar senior lelaki. Pada hari ketiga ekspedisi, kami berkemah di
Kuala Salang. Ketua ekspedisi abang Legolas bercadang untuk mengadakan
klinik renang.
Memandangkan tidak seorang pun dari kami yang tahu
berenang, kami bukan setakat menyokong cadangan itu seratus peratus,
malah untuk menunjukkan betapa semangatnya kami hendak belajar berenang
belum apa-apa lagi kami sudah turun ke laut. Mula-mula, sekali kami
diajar asas untuk berenang dan mengapung badan atau bubbling. Selepas
diberi penerangan masing-masing mencuba teknik itu.
Lain pula
halnya dengan aku, keseronokan dan keghairahan untuk belajar berenang
nampaknya hilang begitu saja, tiba-tiba aku menjadi terlalu takut. Takut
sehinggakan aku hanya mampu berdiri tegak, panik dan kaku, walhal aku
baru hendak mencuba teknik mengapungkan diri belum lagi yang lain.
Apa
yang terlintas difikiran ketika itu hanyalah mati lemas! Tergambar pula
filem yang menunjukkan adegan ngeri orang maut di laut. Apakah aku akan
menemui ajalku di situ? Bagaimana dengan ibu bapaku? Adik-adik? Mati?
Bukan
setakat itu saja, ketakutanku menyebabkan aku terbayang yang
bukan-bukan. Rakan aku yang asyik berlatih, kelihatannya seperti sedang
berpakat-pakat untuk melemaskanku, mereka semua hendak bunuh aku!
Melihatkan
aku sekadar berdiri tegak saja, abang Legolas menjerit-jerit menyuruh
aku mencuba dan mula mendekati aku. Aku yang sudah panik sangat ketika
itu berundur setapak demi setapak. Akhirnya aku hilang pertimbangan dan
menangis.
Abang Legolas terperanjat besar melihatkan aku menangis
dengan tidak semena-mena. Tanpa berkata apa-apa dia terus meninggalkan
aku menangis keseorangan dan meneruskan tunjuk ajar beliau kepada rakan
lain yang nampaknya begitu bersemangat sekali.
Sebenarnya aku
sendiripun tidak faham apalah yang aku takutkan sangat. Air laut baru
separas dada. Disekelilingku banyak orang pula, takkanlah mereka hendak
biarkan aku lemas. Itupun kalau aku lemas!
Melihatkan keadaan
itu, rakan-rakan cuba memujuk dan menenangkan aku. Mereka mengingatkan
tentang keberanian aku pada kebiasaannya (sudah tentu akulah orang
paling berani sebelum ini). Lagipun mereka semua selamat, Tidak jadi
apa-apapun. Jauh sekali hendak lemas!
Macam-macam yang mereka
katakan untuk memujukku tapi semuanya berakhir dengan aku duduk di tepi
pantai merenung kosong seperti terkena sihir lagaknya. Hanya Tuhan saja
yang tahu bagaimana perasaanku ketika itu. Walaupun rasanya lega kerana
tidak lemas tapi betapa ia memalukan diri sendiri. Rasa-rasanya ingin
aku menjelma menjadi ketam, boleh mengorek lubang di pasir dan menyorok
di situ.
Rakan yang tadinya bersimpati mula mentertawakan aku.
Barulah mereka tahu budak samseng itu rupa-rupanya hanya gah di darat
tapi kecundang di laut. Hilanglah kewibawaanku selama ini. Aku seorang
bekas kadet dan sangat berpengalaman dalam merentas hutan dan mendaki
gunung, tetapi menangis di laut.
Begitulah natijah jika takut
tidak bertempat. Bila dikenang-kenangkan lucu juga. Menjadi kenangan dan
teladan untukku seumur hidup. Selepas peristiwa itu aku jadi lebih
beringat-ingat dan berpada-pada dalam melayan perasaan.
Biarlah
aku ligat di darat sahaja. Melihatkan lautan yang begitu saujana mata
memandang, aku rasa terlalu kerdil untuk menghampirinya apatah lagi
untuk berjinak-jinak dengannya.
Walau apapun, suatu hari nanti
aku pasti akan hapuskan sindrom takut air (hydrophobia) itu kerana kata
pujangga “berani mati tak mati, takut mati…mati”.
PAKAI TONGKAT DAH
4 weeks ago
No comments:
Post a Comment