Pages

Ads 468x60px

Terima kasih di atas sokongan (*^_^*)

Klik-klik Nuffnang Ads

Wednesday, August 15, 2007

Baru Ada Masuk Paper 1

4th August 2007



Saudara baru bukti kemampuan




Johan Tilawah Saudara Kita ingatkan belajar al-Quran mesti berguru

MAJLIS Tilawah al-Quran bukan tempat untuk bertanding menunjuk kehebatan, sebaliknya sebagai medan menguji kemampuan qari serta qariah menyampaikan bacaan ayat suci al-Quran dengan tajwid yang betul dan secara berlagu.

Johan Tilawah al-Quran Saudara Kita kategori terbuka, Amran Abdullah, 44, berkata menyertai tilawah juga dikira sebagai ibadat dan cara berdakwah untuk menggalakkan orang ramai supaya belajar ilmu membaca al-Quran dengan betul.

“Jangan lihat pada hadiah ditawarkan tetapi peluang yang disediakan kerana kita mungkin boleh membaca tetapi sejauh mana ilmu yang kita ada. Majlis tilawah adalah antara medan untuk kita menguji kemahiran serta ilmu yang dimiliki.

“Selain memberi peluang kepada saudara baru, Majlis Tilawah Saudara Kita 2007 juga adalah cabaran kepada orang lama dan orang baru sama ada yang baru memeluk Islam atau dilahirkan Islam untuk menilai diri mereka,” katanya.

Katanya, walaupun sudah banyak menyertai tilawah al-Quran sama ada pada peringkat agensi, daerah dan wilayah, beliau masih mahu terus belajar dengan mereka yang pakar dalam bidang pembacaan al-Quran untuk meningkatkan mutu bacaan.

Amran yang bertugas sebagai Inspektor Penjara di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, berkata ini adalah pembabitan kali kedua beliau pada Majlis Tilawah Saudara Kita 2007 dan tidak menyangka akan menjadi johan.

Sambil melahirkan kesyukuran, beliau berkata, tuah yang menyebelahinya kali ini adalah berkat kesungguhannya sentiasa berlatih dan hasil pembabitan dalam majlis tilawah peringkat daerah yang diadakan baru-baru ini.

Beliau yang mewakili daerah Seremban mendapat tempat ketiga pada majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Negeri Sembilan yang diadakan bagi mencari wakil qari dan qariah negeri pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Melaka, baru-baru ini.

Amran yang mendapat tunjuk ajar daripada Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Seremban (MAIS), Samsuddin Abdullah yang juga bekas qari dan hakim lagu dari Negeri Sembilan berkata, belajar al-Quran perlu berguru.

Beliau berkata, mereka yang ingin belajar al-Quran juga perlu bijak memilih guru yang benar-benar layak kerana membaca al-Quran dengan betul akan mendapat ganjaran pahala dan jika tersalah baca boleh mendatangkan dosa.

“Cadangan saya kepada saudara baru atau mereka yang ingin belajar al-Quran supaya belajar dengan guru yang layak. Membaca al-Quran mempunyai tertib tertentu, bukan main baca atau baca ala kadar saja,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Perak, Leha Itam, 16, yang diumumkan sebagai johan qariah kategori terbuka melahirkan kesyukuran kerana dapat menyampaikan bacaan dengan baik dalam percubaan kali pertama menyertai Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007.

Murid Tingkatan Empat Sekolah Agama Rakyat Nurul Hidayah Kampung Kenang, Sungai Siput, Perak itu berterima kasih di atas sokongan dan bimbingan yang diberikan guru sekolah serta keluarga.

Beliau yang mempelajari al-Quran sejak kecil berharap pembabitan dalam tilawah al-Quran akan menarik minat remaja saudara baru untuk mendalami ilmu al-Quran dan meramaikan lagi jumlah qariah yang mampu menyampaikan bacaan dengan baik.

“Selain minat, saya juga kagum dengan dua rakan iaitu Yusni dan Atirah yang boleh membaca al-Quran secara berlagu dengan bagus sekali. Saya ingin setanding mereka dan untuk itu saya akan belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang bercita-cita menjadi pendakwah.

Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 anjuran Nusantara Gems Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Johan qari dan qariah kategori terbuka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah dan piala pusingan Sultan Ahmad Shah serta piala pusingan Sultanah Kalsom. Hadiah disampaikan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid,

Naib johan dan tempat ketiga qari kategori terbuka disandang peserta dari Kelantan, Mohd Shahrul Nizam Jerry dan Ahmad Rizal Fauzi. Naib johan menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan tempat ketiga menerima wang tunai RM3,000.

Johan qariah kategori terbuka menjadi milik peserta dari Perak, Leha Itam; naib johan, Rabiatul Adawiyah dan tempat ketiga, Salemi @ Lim Eng Mui Abdullah.

Johan qari kategori millenium ialah peserta dari Pahang, Joha Achoi; naib johan, Mohd Assamarkandhi Lee Abdullah dan tempat ketiga, Ahmad Rizal Fauzi.

Johan qariah kategori millenium disandang peserta dari Indonesia, Nurida Labora, naib johan menjadi milik Nur Athirah Elsic Jian dan tempat ketiga, Nur Jannah Fatro.

Johan qari dan qariah kategori millenium masing-masing menerima hadiah piala pusingan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, wang tunai RM5,000 dan tiket umrah. Naib johan menerima wang tunai RM3,000 dan tempat ketiga, RM1,000.

Bagi kategori orang kurang upaya (OKU), johan tahun lalu, Muhammad Lee Abdullah mengekalkan kejuaraan buat kali kedua. Beliau menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan piala pusingan.

Buat kali pertama, penganjur memperkenalkan anugerah Tokoh Saudara Baru bagi menghargai sumbangan mereka yang banyak berkorban menyebarkan syiar Islam di kalangan saudara yang baru memeluk Islam.



Hadiah Tokoh Saudara Baru diberi kepada Perunding Latihan, Muhammad Fitri Abdullah, 44, dan sukarelawan, Ani Kim Abdullah, 51.






©The New Straits Times Press (M) Berhad

3 comments: